Ahad, 21 Ogos 2011

MeMBuRu LaiLaTuL QaDaR




::: SaMa-SaMa KaSiH :::

Umat Islam berada pada fasa terakhir Ramadhan. Seharusnya, sepuluh malam terakhir ini kita semakin ghairah meningkatkan amalan.

Tambahan pula, Allah menjanjikan bonus dengan menawarkan Malam Al-Qadar buat hambaNya yang konsisten mentaqarrubkan diri kepada Allah.

Pelbagai hadith yang disabdakan oleh Rasulullah SAW menyarankan agar umat Islam merebut Malam Al-Qadar ini.

Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari yang menyatakan agar kita mencari malam yang mulia ini pada sepuluh malam terakhir dan bilangannya ganjil.

Selain itu, Muslim juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW turut menyarankan agar kita mencarinya pada malam ketujuh atau kelima.
Namun begitu, bukanlah penentuan tarikh yang menjadi persoalan penting. Tetapi, sebagai ahli Ramadhan, kita sewajarnya lebih baik untuk sentiasa berusaha meningkatkan amalan sehingga ke darjat taqwa.

Antara amalan rutin yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada sepuluh malam terakhir ialah beri’tikaf di masjid, bertadarrus dan mentadabbur Al-Qur’an serta memperbanyakkan solat sunat.

Bahkan, Rasulullah SAW juga turut mengajak ahli keluarganya yang lain bagi menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan. Inilah kehidupan Rasulullah SAW.

Walaupun baginda telah dijanjikan syurga oleh Allah, namun amalannya sentiasa konsisten dan lebih komited. Marilah kita mencontohi amalan Rasulullah SAW agar kita tergolong dalam golongan yang diredhai dan dicintai Allah.

Marilah kita mengamalkannya!


Jumaat, 12 Ogos 2011

RAMADHAN KAREEM – MENGKOREKSI DIRI DI BULAN RAMADHAN


Bulan yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Ramadhan yang hadir hanya sekali dalam setahun. Marilah kita merenung sejenak intipati bulan yang mulia ini semoga kita menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad SAW yang terbaik.

Allah SWT berfirman (bermaksud),
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa” – Surah Al-Baqarah : 183

Rasulullah SAW juga telah memotivasikan kita dengan sabdanya (bermaksud),
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesedaran nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu” – Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

8 Tips Menjadi Super Mukmin di Bulan Ramadhan

1. Berpuasa bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum. Bahkan, kita juga dituntut untuk memelihara anggota badan daripada perkara yang membatalkan puasa dan mengundang dosa.

Cuba perhatikan hadith Rasulullah SAW (maksud) ini;

“Puasa itu adalah perisai. Sekiranya seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap kotor, melakukan kefasikan dan kejahilan. Jika seseorang itu mencacinya, maka katakanlah aku sedang berpuasa” – Riwayat Bukhari dan Muslim

2. Ramadhan mampu membentuk diri dan memperbetulkan tabiat negatif yang terdapat dalam diri kita. Marilah kita mengambil peluang ini dengan memperelokkan solat supaya ia menjadi lebih baik. Kita memelihara solat di awal waktu, berjemaah bersama keluarga dan di surau atau di masjid, meningkatkan rasa khusyu’ dan melazimi solat-solat sunat.

Rebutlah peluang mendirikan qiyamullail kerana ia merupakan amalan kegemaran Nabi Muhammad SAW. Dirikanlah solat sekurang-kurangnya dua rakaat.

3. Kita semua tahu bahawa Rasulullah SAW merupakan seorang yang pemurah. Baginda menjadi seorang yang lebih pemurah pada bulan Ramadhan. Anas bin Malik meriwayatkan daripada Nabi SAW (bermaksud),

“Sebaik-baik sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan” – Riwayat At-Tirmizi

Tapi ingat, janganlah mengharap terima kasih daripada orang. Lakukannya ikhlas kerana Allah SWT. Apa yang lebih penting, jangan lupa menunaikan zakat fitrah sebelum 1 Syawal.

4. Antara kemanisan dalam berpuasa ialah berbuka pada waktunya. Bersifat sederhanalah dalam berbelanja ketika berbuka supaya dapat mengelakkan pembaziran. Di masjid dan surau sekitar Putrajaya juga menganjurkan majlis berbuka puasa, ayuh kita mengimarahkannya!

5. Tahu tak Ramadhan itu berasal daripada kata akar ‘Ramadh’ yang bermaksud panas terik? Berpuasa dalam keadaan panas sudah tentu meletihkan dan mendahagakan. Namun, sebagai seorang yang beriman, kita diwajibkan untuk bersabar.

Jika berdepan dengan apa sahaja ujian, maka kita disuruh supaya banyakkan bersabar. Pohonlah pertolongan dan kemudahan daripada Allah. InsyaAllah, DIA akan makbulkannya.

6. Amat menakjubkan apabila Malaikat Jibril bertadarrus Al-Qur’an bersama Rasulullah SAW di bulan Ramadhan. Maka, amalan tersebut diaplikasikan oleh sahabat-sahabat baginda sehingga dikatakan ada dikalangan mereka yang mengkhatamkan Al-Qur’an sehari sekali, dua hari sekali, seminggu sekali dan sepuluh hari sekali. Lebih menginsafkan, mereka membaca Al-Qur’an dengan penuh khusyu’ sehingga menangis kerana memahami dan menjiwai setiap ayat yang dibacanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Jibril menemuinya (Nabi Muhammad) pada setiap malam di bulan Ramadhan hingga bulan itu berlalu. Nabi SAW memperdengarkan bacaan Al-Qur’an kepadanya” – Riwayat Al-Bukhari

7. Antara falsafah Ramadhan adalah mengajar diri merasai kesusahan orang yang lain yang kurang berkemampuan. Ia turut menuntun kita menjadi seorang yang lebih menyayangi dan bersikap belas ihsan kepada manusia yang lain.

Manfaatkanlah Ramadhan dengan menghubungkan silaturrahim bersama kaum kerabat, jiran tetangga, kawan sekerja dan masyarakat setempat. Eratkan ukhuwwah Islamiah, buangkan kekeruhan dan ambillah kejernihan. Bersifat pemaaf adalah lebih mulia daripada sifat dendam dan busuk hati. Ingatlah peringatan Allah SWT (bermaksud),

“Dan orang-orang yang mengingkari janjinya kepada Allah setelah dimeterai, dan memutuskan apa-apa yang telah diperintahkan Allah kepadanya dan melakukan fasad di muka bumi, merekalah orang-orang yang dilaknat dan akan kembali di seburuk-buruk tempat kediaman” – Surah Ar-Ra’d : 25

8. Kebiasaannya pada bulan Ramadhan, banyak masa lapang yang boleh dimanfaatkan terutamanya pada waktu cuti. Tidak baik kalau hanya tidur berpanjangan dan terlalu kerap menonton televisyen. Marilah kita mengisinya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Ini kerana sifat orang mukmin yang berjaya adalah mereka akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mu’minuun dari ayat 1 hingga 3 (maksud);

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya. Dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang tidak berfaedah”.

3 Peristiwa Signifikan Di Balik Tabir Sirah Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan

1. Meletus peperangan pertama umat Islam iaitu Perang Badar Al-Kubra

Ia dikisahkan oleh Allah SWT dalam Surah Ali-‘Imran ayat 123 hingga 125 (bermaksud)
“Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya”.

Ia berlaku pada Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah.

2. Bulan diturunnya Al-Qur’an Al-Kareem

Firman Allah SWT (maksud),

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan didalamnya Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)” – Surah Al-Baqarah : 185

InsyaAllah, negara kita akan menyambut Hari Nuzul Al-Qur’an pada 17 Ogos 2011 bersamaan 17 Ramadhan 1432 nanti, moga-moga ia menjadi satu turning point untuk kita lebih membudayakan Al-Qur’an lantas mengambilnya sebagai panduan hidup yang sangat berguna.

3. Pembukaan Kota Makkah

Setelah Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah ke Madinah setelah 13 tahun mendiami Makkah, maka baginda sekali lagi memasuki Makkah dengan agenda pembukaan yang lebih besar. Walaupun dengan jumlah yang ramai hingga menggerunkan para Musyrikin Makkah, namun jiwa besar baginda dan sahabat-sahabatnya menyebabkan tidak ada satu pun pertumpahan darah yang berlaku. Semuanya dilakukan secara harmonis dan penuh kesyukuran. Peristiwa bersejarah ini berlaku pada tanggal 10 Ramadhan tahun keenam hijrah.

Rasulullah SAW dan lipatan sirahnya membuktikan bahawa Ramadhan bukan bulan yang beristirehat dan bermalas-malasan, tetapi ia sarat dengan misi kesucian untuk terus mendaulatkan Islam.

Jadikanlah Ramadhan kali ini Ramadhan terbaik dan seolah-olah yg terakhir buat kita. Moga amal ibadah kita diterima dan membentuk jiwa-jiwa yang sanggup berjuang bermati-matian mempertahankan agama yang kita cintai yakni ISLAM!!!

::: SaMa-SaMa KaSiH :::